Setelah Al-Haris bin Amr, Raja negeri Kandah hendak berkahwin dengan anak perempuan Auf Bin Muhlim Asyaibani, diarahkan utusan diraja hendak membawa pengantin untuk disampaikan kepada raja tadi, maka ibunya berwasiat kepada anak perempuannya ini. Dia berkata:

" Wahai anakku!
Kalaulah wasiat ini untuk kesempurnaan adabmu
Aku percaya kau telah mewarisi segala-galanya

Tetapi!
Ia sebagai peringatan untuk yang lalai
Dan pedoman untuk yang berakal
Andai ibu bapamu dapat memberikan segala-galanya
Nescaya tidak perlu bagimu seorang suami

Tetapi!
Wanita diciptakan untuk lelaki
Lelaki dicipta untuk wanita
Bercerailah kau dari ayunan buaianmu
Meninggalkan teratak tempat besarmu
Melangkah menuju ke alam baru
Yang belum kau kenal yang belum kau biasa

Kau milik suamimu
Anggap dirimu sebagai hamba
Tentunya suamimu
Jadi teman yang paling setia

Bawalah wasiat dariku
Sepuluh sifat
Sebagai bekalan perjalananmu
Menuju alam bahagia.

Relakan dirimu sekadar yang ada
Semoga suci hatimu dengan taat setia
Dan hulurkan tanganmu tanda mahu berganding bahu

Jauhkan dirimu dari segala yang jelek
Yang dihidu atau dipandang mata
Juga awasi gerak lakumu
Agar tidak sumbang mengguris rasa

Sembunyikan suram wajahmu
Gantikan ia dengan sinar
Secerah suria pagi
Dan badan yang semerbak harum
Bermandikan bauan

Mata berpasak, kening bercelak
Itu menambah seri...

Jaga masa makannya
Jaga waktu tidurnya
Kerana,
Perut kosong hilang bicara
Mata mengantuk hilang kesabaran di dada

Kunci mulutmu
Tabahkan hatimu
Badanmu terselamat
Jiwa temanmu tidak terseksa

Simpan dulu kerianganmu dikala dia berduka
Pendamkan kesedihanmu dikala dia bergembira
Akibat aksi tidak senada
Hilang simpatimu disebab pertama
Keruh suasana disebab kedua

Hulurkan tanganmu....
Andai kau menghulur sebelah tangan
Nescaya dia menghulurkan kedua belah tangan
Tidak cukup tangan, nyiru pula ditadahkan

Ketahuilah!
Kasihmu tidak sampai kerana
Jika hatimu berdua tidak sejiwa
Kasih kau, kasihlah dia
Benci kau, bencilah dia
Allah saja yang menentukan nasibmu.....

Kau bawalah wasiatku ini dan sampaikan salamku kepada suamimu"

Begitulah ibu tadi menambah pesan kepada anaknya. Seterusnya wanita ini telah mencapai kedudukan yg mulia di sisi suaminya. Dia telah memperolehi 7 orang anak lelaki, yang kesemua mereka telah menjadi pemerintah negeri Yaman setelah pemerintahan bapa mereka.

0 comments: