Negeri akhirat itu, Kami jadikan untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan diri dan berbuat kerosakan di (muka) bumi. Dan kesudahan (yang baik) itu adalah bagi orang-orang yang bertaqwa. [Al-Qashash : 83]

Tawadhuk ialah menurunkan diri daripada martabatnya bagi orang yang ingin membesarkannya (memuliakannya). Tawadhuk ialah sifat yang merendah diri dan menerima kata-kata atau pandangan orang lain sama ada orang yang berkata itu ialah orang yang mulia atau hina, orang yang merdeka atau hamba sahaya, lelaki atau perempuan. Orang yang tawadhuk ialah orang yang tidak melihat kelebihan dirinya, dan tidak pula nampak akan kekurangan pada orang lain. (Demikian yang tertulis dalam Sirajul Munir tulisan Azizi)

Rasulullah s.a.w. bersabda, mafhumnya:Barangsiapa merendahkan diri kerana Allah, maka Allah mengangkat darjatnya disisi Allah. Barangsiapa membesarkan dirinya, maka direndahkan martabatnya disisi Allah. [Sanad Hadis : Hadis Hasan]

Menurut Abu Nu’aim, yang dimaksudkan Barangsiapa merendahkan diri kerana Allah, maka Allah mengangkat darjatnya disisi Allah ialah dirinya dhaif dan hina di mata manusia tetapi besar dan mulia pada pandangan Allah. Barangsiapa takbur maka direndahkan darjatnya disisi Allah, maka orang itu kecil dan hina di mata manusia sedangkan perasaan dalam dirinya adalah besar dan mulia. Nauzubillah.

Tanda-tanda takbur ialah melihat dirinya lebih tinggi dan lebih besar serta lebih mulia daripada orang lain, maka dia melihat orang lain lebih hina dan kurang daripada kedudukan dirinya. Takbur adakala terkesan pada lisan seperti : Aku lebih baik dan mulia daripada si fulan.

Seperti dalam kitabullah, iblis berkata yang bermaksud:...... aku lebih baik daripada Adam, Engkau jadikan aku dari api dan Engkau jadikan Adam dari tanah. [Al-A’raf : 12]

Adakalanya takbur dapat dilihat pada bicara dimana seseorang itu tidak mahu kalah pada hujahnya (meskipun hujahnya salah/lemah) dan tidak mahu mengaku kebenaran pada kata-kata orang lain.

Rasulullah s.a.w bersabda, mafhumnya:Tidak masuk syurga orang yang pada hatinya seberat semut atau sebesar zarah perasaan kibr (takbur) [Sanad Hadis : Hadis Sohih]Dihimpunkan segala orang yang kuat yang membesarkan diri pada hari kiamat menyerupai semut dan dipijak oleh segala manusia kerana sangat hina pada pandangan Allah Azza wa Jalla. [HR Ibnu Majah]

Dan riwayat Thabrani daripada Ibnu Abbas r.a. :Pada kepala anak Adam ada hakam (kebijaksanaan) di tangan malaikat, apabila dia tawadhuk maka Allah berfirman kepada malaikat: ‘Angkatlah hakamnya’ dan apabila takbur maka dikatakan kepada malaikat: ‘Rendahkan hakamnya’.

Kisah Saidatina Fatimah dengan Batu Kisarnya(Riwayat dari Abu Hurairah r.a.)Pada suatu hari, Rasulullah s.a.w. ke rumah anaknya (Fatimah az-Zahra), Rasulullah mendapati bahawa Fatimah sedang duduk dan mengisar padahal beliau sedang menangis. Maka Rasulullah s.a.w. bersabda, Dan apa yang menyebabkan engkau menangis wahai Fatimah, Allah tidak memberi mata kepadamu untuk menangis (selain kepada Nya).

Maka Fatimah menjawab, Hai bapaku, daripada kekuasaanmu maka engkau mintakan kepada Imam Abu Al-Hasan (Saidina Ali r.a.) untuk memberiku seorang hamba supaya dapat membantuku untuk mengisar gandum dan pekerjaan rumah.Tatkala mendengar bicara Fatimah, Rasulullah s.a.w. mengambil batu pengisar, dengan lafaz basmalah maka ia berpusing dengan sendirinya dengan izin Allah. Maka Rasulullah meletakkan gandum dengan tangannya dan berpusinglah batu pengisar itu dengan sendirinya dan tasbih keatas Allah beberapa kali hingga selesai mengisar.

Maka, Rasulullah s.a.w. bersabda: Berhentilah wahai batu pengisar dengan izin Allah. Maka ia berhenti dan berkata kepada Rasulullah: Ya Rasulullah, demi Tuhan yang membangkitkan engkau dengan sebenar Nabi dan Rasul, jika engkau menyuruh aku untuk mengisar gandum Masyriq dan Maghrib, nescaya aku akan mengisar semuanya dan bahawasanya aku mendengar di dalam kitabullah:...... Hai orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari neraka yang bermula kayu apinya adalah manusia dan batu. [At-Tahrim : 6]

Maka aku takut ya Rasulullah jikalau aku adalah batu yang akan masuk ke dalam neraka. Maka Rasulullah bersabda: Sukakah kamu sekiranya engkau menjadi batu daripada mahligai Fatimah di dalam syurga? Maka batu pengisar itu pun suka dan diam.

Maka Rasulullah s.a.w. bersabda kepada puterinya, Jikalau Allah mahu wahai Fatimah, maka batu raha (pengisar) itu bergerak dengan sendiri tetapi Allah mahu engkau berbuat kebaikan dan ingin mengkifarahkan engkau dari kejahatan dan diangkat ia bagi engkau beberapa darjat.

Hai Fatimah, wanita yang mengisar (menyediakan makan) bagi suami dan anaknya melainkan disuruh Allah baginya tiap-tiap biji gandum itu kebajikan dan dijauhkan daripadanya kejahatan dan diangkatkan baginya darjat.

Hai Fatimah, wanita yang berpeluh ketika mengisar untuk suaminya melainkan dijadikan Allah jarak antaranya dengan neraka adalah 7 kota.Rujukan: Al-Jauhar al-Mauhub wa Munabbihat al-Qulub tulisan Syeikh Ali B Abdul Rahman**

Bayangkan batu raha (pengisar) pun tunduk dan patuh akan perintah Rasulullah s.a.w. kerana takutkan azab neraka Allah, sedangkan manusia yang dikurniakan akal fikiran dan iman pun masih ramai yang tidak mahu menyahut seruan Rasulullah untuk mentaati Allah dalam kehidupan seharian. Bersama muhasabah untuk membina peribadi muslim yang cemerlang.

Wallahua’lam.

SaLaM SeiNDaH MaWaR BeRDuRi