Alkisah, maka tersebutlah seorang pemuda yang sangat pemarah. Dia tidak dapat mengawal kemarahannya walaupun terhadap suatu masalah yang kecil. Pada suatu hari, bapanya telah menghadiahkannya dengan seguni paku. "Untuk apakah paku-paku ini ayah?" tanya pemuda tersebut. "Setiap kali kamu marah, kamu pakulah tembok batu di hadapan rumah kita ini, bagi melepaskan kemarahanmu" jawab ayahnya.
Pada hari yang pertama sahaja, pemuda itu telah memaku sebanyak 37 batang paku pada tembok batu tersebut. Selepas beberapa minggu, setelah dia dapat mengurangkan kemarahannya, jumlah paku yang digunakan juga berkurangan. Dia mendapati, adalah lebih mudah mengawal kemarahannya daripada menukul paku menembusi tembok batu tersebut. Akhirnya tibalah pada suatu hari pemuda tersebut tidak berasa marah walau sekali pun. Dia pun memberitahu ayahnya mengenai perkara tersebut dengan gembira.
Bapanya mengucapkan tahniah dan menyuruhnya mencabut kembali paku itu satu persatu, pada setiap hari yang dilalui tanpa kemarahan. Hari berganti hari, akhirnya dia berjaya mencabut kesemua paku-paku tersebut. Pemuda tersebut lantas memberitahu perkara tersebut kepada bapanya dengan bangganya.
Kemudian, bapanya memimpin tangannya ke tembok tersebut dan berkata "kamu telah berjaya mengawal perasaan marah dengan baik anakku, tetapi lihatlah kesan lubang-lubang di tembok batu tersebut, tembok itu kelihatan tidak sama lagi seperti sebelumnya. Apabila kamu menyatakan sesuatu atau melakukan sesuatu ketika marah, ia akan meninggalkan kesan parut dan luka, sama sepert kesan lubang di dinding ini.
Ingatlah, walau berapa kali pun kau memohon maaf dan menyesal atas perbuatammu, namun lukanya masih tetap ada. Luka di hati adalah lebih pedih daripada luka fizikal. Maafkan saya sekiranya saya pernah meninggalkan kesan berlubang di dinding hati anda.