
 Hati adalah sumber ilham dan pertimbangan, tempat  lahirnya cinta dan benci, keimanan dan kekufuran, taubat dan sikap  degil, ketenangan dan kebimbangan. Hati juga sumber kebahagiaan jika  kita mampu membersihkannya namun sebaliknya ia merupakan sumber bencana  jika kita gemar menodainya. Aktiviti yang dilakukan sering berpunca  daripada lurus atau bengkoknya hati.
 
  Abu Hurairah r.a. berkata, “Hati  adalah raja, sedangkan anggota badan adalah tentera. Jika raja itu baik,  maka akan baik pula lah tenteranya..Jika raja itu buruk, maka akan  buruk pula tenteranya”.
 
 Hati yang keras mempunyai tanda-tanda yang boleh dikenali, di antara yang terpenting adalah seperti berikut:
1. Malas melakukan ketaatan dan amal kebajikan
 Terutama malas untuk melaksanakan ibadah, malah mungkin  memandang ringan. Misalnya tidak serius dalam menunaikan solat, atau  berasa berat dan enggan melaksanakan ibadah-ibadah sunnah. Allah telah  menyifatkan kaum munafikin dalam firman-Nya yang bermaksud, “Dan mereka tidak mengerjakan sembahyang, melainkan  dengan malas dan tidak (pula) menafkahkan (harta) mereka, melainkan  dengan rasa enggan.” (Surah At-Taubah, ayat 54)
 
 2. Tidak berasa gerun dengan ayat al-Quran
 Ketika disampaikan ayat-ayat yang berkenaan dengan janji  dan ancaman Allah, hatinya tidak terpengaruh sama sekali, tidak mahu  khusyuk atau tunduk, dan juga lalai daripada membaca al-Quran serta  mendengarkannya. Bahkan enggan dan berpaling daripadanya. Sedangkan  Allah S.W.T memberi ingatan yang ertinya, “Maka  beri peringatanlah dengan al-Quran orang yang takut dengan ancaman Ku.”  (Surah Al-Qaf, ayat 45)
 
 3. Berlebihan mencintai dunia dan melupakan akhirat
 Segala keinginannya tertumpu untuk urusan dunia  semata-mata. Segala sesuatu ditimbang dari segi keperluan dunia. Cinta,  benci dan hubungan sesama manusia hanya untuk urusan dunia sahaja.  Penghujungnya jadilah dia seorang yang dengki, ego dan individulistik,  bakhil serta tamak terhadap dunia.
 
 4. Kurang mengagungkan Allah
 Sehingga hilang rasa cemburu dalam hati, kekuatan iman  menjadi lemah, tidak marah ketika larangan Allah diperlekehkan orang  lain, tidak mengamal yang makruf serta tidak peduli terhadap segala  kemaksiatan dan dosa.  
 
 

 

 







 
0 comments:
Post a Comment