“Jom pergi dengar ceramah”, ajak seorang rakan kepada rakannya yang lain.
 “Tak nak lah..Setakat  dengar ceramah je nak buat apa. Nak sembahyang? Sembahyang kat rumah pun boleh kan?” jawab  rakannya  tadi. 
 Sedih.
 Sedih  mendengarkan alasan  itu. Itulah hebatnya Allah SWT, hanya Dia-lah sahaja yang mampu untuk menggerakkan hati manusia seperti  saya dan anda untuk menuju redha-Nya. Namun, hidayah daripada Allah SWT  bukannya alasan untuk tidak mencari keimanan kepada-Nya. 
 “Jom kita puasa”, kata seseorang kepada rakan karibnya.
 “Hehe.. Hidayah Allah tak  sampai lagilah. Tak sampai seru, dah sampai nanti aku puasa la. Jangan risau, nanti aku puasa  tiap-tiap hari..huhu“, jawab rakannya dengan selambernya.
 
  Apakah  perasaan anda jika  mendengar kata-kata seperti itu? Mungkin kemarahan akan menjelma ketika itu bukan? Sabarlah dan  terus bersabar. Seorang da’ie tidak mengenal erti putus asa. Bukan kejayaan  yang  Allah lihat, tetapi kesungguhan yang tidak mengenal erti putus asa itulah yang menjadi perhatian Allah SWT. Lagi dan lagi berusaha berdakwah.
 
 TAKUT DIDAKWAH?
 “Panas.. Panas!! Aku tak  boleh dengar lagu-lagu nasyid ni. Aku jadi terbakar nanti!”, kata seorang teman kepada  saya suatu  ketika dahulu. 
  Terbakarkah  apabila  mendengar ayat-ayat Allah? Hanya syaitan sahaja yang lari bertempiaran apabila mendengar ayat-ayat Allah  SWT. Mengapa pula apabila mendengar frekuensi yang ‘lebih hangat daripada  biasa’  tidak terbakar pula? Kita sengaja meletakkan Allah itu jauh dari diri kita,  kerana itulah kita sukar mendapatkan-Nya. 
  Kebiasaannya,  dakwah adalah satu  perkataan yang sangat ditakuti. Kebanyakan orang akan mentafsirkannya  atau menyamakannya  dengan gerakan pencegah maksiat. Pernah suatu ketika saya ke pusat bowling   dengan memakai kopiah, ramai yang menjauhkan diri kerana takut melihat saya dan takut saya ber’ceramah’ kepada mereka, walhal saya mahu bermain bowling   sahaja. Waduh.. 
 
 Sabda  Nabi Muhammad SAW adalah benar iaitu di akhir zaman, sesiapa yang membawa Islam akan diherdik dan dikatakan  pelik. 
 Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rasulullah saw, “Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang orang yang asing”.
(Hadis Riwayat Muslim)
 Benar.  Islam sudah dikira  dagang (pelik dan asing). Orang bersolat dikatakan jumud. Orang menutup aurat dikatakan ketinggalan zaman dan  tidak mengikut fesyen semasa. Itulah yang berlaku sekarang, beruntunglah  orang-orang yang ‘pelik’ itu.
 
 LAYAKKAH KITA BERDAKWAH?
“Kau pun banyak buat dosa, nak dakwah orang pulak!”
“Kau nasihatkan orang, tapi buat jugak!”
“Kita bukan ulama, mana boleh cakap hal-hal agama ni!”
 Kata-kata  yang biasa kita  dengar dan mungkin juga kita yang menyebutnya. Benar. Kita bukanlah seorang alim atau ulama yang  mempunyai ilmu yang menggunung dalam bidang agama, kita insan yang dahagakan ilmu  agama sebenarnya. Tetapi agama itu nasihat, semua yang kita tuturkan (yang  baik) adalah dakwah. Janganlah menyebut soal hukum yang berat-berat, kerana  bukan di bawah bidang kuasa kita, hanya sekadar ilmu yang kita tahu dan sebutlah berkenaan akhlak, adab dan hal-hal lain yang simple-simple  sahaja (mengikut tahap ilmu).
  
  Bukankah  Nabi Muhammad SAW  telah bersabda bahawa sesiapa yang mengucapkan syahadah, maka dia adalah seorang pendakwah?  Maka menjadi tanggungjawab kita untuk menyampaikan agama walaupun sepotong  ayat. Dakwah orang biasa jangan disamakan dengan pendakwah bertauliah, jika disamakan, maka ramailah yang tidak mahu berdakwah nanti.
  
  Dakwah yang paling mudah  ialah menunjukkan akhlak yang baik. Insya-Allah semua mampu melakukannya. Tiada alasan untuk tidak  berdakwah dan janganlah menyempitkan makna dakwah itu sendiri. Saya dan anda  adalah pendakwah dan orang yang didakwah kerana ianya proses mengenal TUHAN.  Nabi Musa a.s yang mempunyai kelebihan untuk bercakap terus dengan Allah SWT  pun ditarbiyah oleh Allah SWT. Ini menunjukkan manusia ini perlu sentiasa  didakwah, ditarbiyah dan ditazkirah. 
  “Allah  berfirman “Aku sepertimana sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku. Dan Aku akan bersama hamba-Ku jika dia mengingati-Ku. Kalau dia mengingati-Ku di dalam dirinya, Aku akan mengingatinya dalam diri-Ku.  Apabila dia mengingati-Ku di khalayak ramai, Aku mengingatinya di tengah  khalayak yang lebih ramai lagi (para malaikat dan seluruh makhluk). Apabila dia  mendekati-Ku sejengkal, Aku mendekatinya sehasta. Apabila dia mendekati-Ku sehasta,  Aku mendekatinya sedepa. Apabila dia mendekati-Ku dengan berjalan, Aku  mendekatinya dengan berlari” 
 (Hadis Qudsi Riwayat Bukhari)
Bacalah dengan niat untuk mendapat manfaat. Insya-Allah kita akan berada dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa ingat dan saling memperingati. Ingatlah, kita akan didakwah dan berdakwah!
 
 

 

 







 
0 comments:
Post a Comment